Friday 12 August 2011

daun pohon getah itu..



bismillahirrahmanirrahim,

indah! bagai berada di negara empat musim. itulah yang dapat digambarkan sewaktu menelusuri ladang getah pada musim daunnya luruh, kiri dan kanan jalan kekuningan, dedaun berterbangan ditiup angin. gugurlah satu persatu dedaun getah dari pohonnya.

namun disebalik keindahan ciptaan tuhan tersebut, jika dipandang dengan mata hati, tersimpul sejuta makna disebalik kejadian daun getah tersebut, satu pengajaran yang boleh dipelajari dari daun pohon getah itu, bermula dengan pucuk yang baru belajar menghadam cahaya mentari, dari hari ke hari, pucuk itupun berubah menjadi dedaun muda yang menjadi kegemaran sang ulat kerana kelembutannya, hari bersilih ganti, dedaun muda terus membesar menjadi dewasa, warna hijaunya semakin pekat, melambangkan kegagahannya. namun zaman kegagahannya itu tidak lama, kulitnya dari hari ke hari beransur kekuningan, kulitnya semakin berkedut. kini, daun getah telah kuning keseluruhannya, tangannya tidak mampu memaut dahan pohon getah tempatnya bernaung, daun getah itu masih lagi bertahan, walaupun ia keletihan, akan tetapi, malang tidak berbau, datang sang angin merentap sang daun sehingga jatuh berpusing layu diatas bumi.  jika hari ini ia tidak gugur, esok lusa pasti gugur jua, turun menyembah bumi setelah lama memuja sang mentari. berakhirlah riwayat sang daun.



begitu jugalah sebenarnya yang berlaku dengan riwayat hidup manusia, sewaktu kecilnya kita diibarat pucuk. baru belajar mengenali dunia, belajar mengenali yang mana hitam, yang mana putih, yang mana suka dan yang mana duka. ketika itu jugalah kita mula diajar dengan ilmu dunia dan ilmu akhirat untuk menjadi bekalan ke peringkat seterusnya. lalu kita beransur-ansur membesar, menjadi seorang remaja, yang mana jiwanya belum betul kukuh. masih mencari diri sendiri. nampak seperti belum pasti dengan identiti apa yang harus dicari. sama seperti daun muda tadi, yang mana menjadi kegemaran sang ulat untuk mengunyah. kerana lembutnya isi si daun muda. di usia remaja inilah merupakan cabaran yang paling getir dalam hidup manusia, syaitan ketika ini datang bertubi-tubi menghasut anak adam supaya terpesong akidahnya, agar rosak imannya, supaya ramai manusia akan menjadi peneman si syaitan durjana di dalam perut neraka. jika rosak remaja, maka rosaklah pewaris agama dan bangsa, sebuah pujangga ada menyebut tentang perihal remaja yang berbunyi begini:

"jika engkau ingin melihat masa depan sesuatu ummat, 
lihatlah pada pemudanya pada hari ini"

lalu remaja tadi pun menginjak dewasa, mungkin sudah menemui tentang identiti apa yang harus dibawa, masing-masing sibuk menonjolkan kebolehan dan kelebihan diri. sejauh mana hebatnya manusia itu semasa dewasa, bergantung bagaimana pengisian ketika remajanya, jika remajanya diisi perkara kebaikan dan kebajikan dewasalah manusia itu dengan sempurna seperti daun getah yang mekar lagi pekat daunnya disamping indah urat daunnya. lambang keutuhan iman manusia. namun jika ketika remajanya diisi dengan perkara keburukan dan melalaikan, dewasalah manusia itu dengan tidak sempurna, penuh cacat cela pada iman mereka, seperti dedaun getah yang berlubang-lubang dimamah ulat, lambang rapuhnya iman. sentiasa membawa bencana masalah kepada masyarakat, seperti daun berlubang yang mencacatkan pandangan pohon getah.



lama kelamaan manusia pun memasuki usia emas mereka, kudrat yang ada pun tidak segagah sebelumnya, sama seperti dedaun getah yang kekuningan. menunggu masa gugur ke bumi, namun tidak semua dedaun getah yang gugur dibiarkan mereput dibumi. jika dedaun tadi uratnya indah, maka ia akan dikutip untuk dijadikan perhiasan di dunia, begitu jugalah dengan manusia, yang mana jika indah iman ketika hayatnya, ihsan dan baktinya tidak turut berkubur bersama jasadnya, sebaliknya terus berjasa kepada manusia hingga kiamat. menjadi saham kepada mereka di akhirat.

marilah kita renugkan, dimanakah kedudukan kita? adakah seperti dedaun yang gugur dan terus dibiarkan mereput dibumi? ataupun dedaun yang indah uratnya, walaupun jasadnya sudah terkubur tetapi baktinya kepada alam masih lagi diteruskan. tepuk dada tanyalah iman. wAllahualam.



credit to: dideni photo

6 comments:

  1. wahhh..permulaan yg baik..teruskan :)

    ReplyDelete
  2. cikgu nurul: syukran jazilan atas dorongan :)

    ReplyDelete
  3. wah..kata2nya berpuitis tapi penuh dgn makna yg tersirat..

    ReplyDelete
  4. puteri ali : syukran... masih terlalu baru dalam dunia penulisan, sudilah kiranya memberi teguran, agar dpt ana melakukan penambah baikan :)

    ReplyDelete
  5. ana pn masih baru jgk..xsmpai stahun lg..sama2 la kita saling mnegur antra satu sama lain yea..sirru ala barakatillah.. =)

    ReplyDelete
  6. puteri ali :amin.. insyaAllah...

    ReplyDelete