Monday 29 August 2011

berlalunya Ramadhan..



bismillahirrahmanirrahim,


ramadhan, saban tahun datang dan pergi, begitu juga dengan ramadhan pada tahun ini, bakal berlalu pergi, apakah mungkin ramadhan akan datang masih mampu kita kecapi? atau mungkin.. ramadhan ini adalah yang terakhir kali, sebelum kita dijemput Ilahi.



dalam keghairahan umat Islam mempersiapkan diri menyambut ketibaan syawal yang sangat dinanti, ramai yang terlupa untuk menghadiri madrasah ramadhan. adakah madrasah ramadhan kali ini sudah cukup mantap untuk mendidik iman kalian untuk menjalani kehidupan harian sehingga ketibaan ramadhan yang akan datang? adakah iman muslimin muslimat sudah bersedia menahan godaan syaitan yang bakal kembali menghasut anak-anak adam demi mengotakan janji mereka pada Allah S.W.T, mencari sebanyak mungkin anak-anak adam yang sanggup menemani mereka dalam perut neraka.. jika madrasah ramadhan kali ini digunakan dengan sebaik mungkin, insyaAllah.. kalian akan terselamat dari tipu daya syaitan.



namun, berapa ramaikah yang menyedari akan kepentingan ramadhan kali ini? berapa ramaikah betul-betul memanfaatkan peluang di madrasah ramadhan ini bagi mendidik nafsu?agar nafsu itu senantiasa cinta akan kebaikan, agar nafsu itu terdidik menjadi nafsu mutmainnah. ketika dahulunya, Rasullallah S.W.T memperbanyakkan amalan di 10 akhir ramadhan, hari ini, 10 hari terakhir ini digunakan bagi sebaik mungkin bagi menyambut perayaan di bulan syawal, seolah meraikan kepulangan syaitan ke dalam rumah mereka. pada mereka ramadhan ini hanyalah bulan kelaparan, dalam hati mereka sering berkata " segeralah pergi wahai ramadhan, jasadku sudah keletihan keranamu. kemarilah wahai syawal, engkaulah yang kunantikan! "

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah RA: "Bahwasanya Nabi SAW senantiasa ber-i'tikaf pada sepuluh hari terakhir dari Ramadan,hingga Allah mewafatkannya."



sesungguhnya Islam itu tidak melarang penganutnya dalam bergembira, menghiburkan hati, namun batas-batasnya perlulah dijaga, janganlah perayaan di bulan syawal dibuka dengan pembaziran dan diakhiri dengan kemaksiatan, apa guna mendapat lailatul qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan , jika dosa yang dilakukan selepas ramadhan juga umpama dosa seribu bulan, rugi bukan? itu jika kita tergolong dalam golongan yang mendapat kelebihan malam lailatul qadar, bagaimana jika kita tidak mendapat kelebihan itu?? tetapi masih menyambut syawal dengan melakukan kemungkaran seakan dosa seribu bulan? tertanggungkah kita dosa sebanyak itu di mahsyar kelak? sanggupkah kita menanggung bebanan yang menimbun sedangkan pada tika itu matahari hanya berada sejengkal dari kepala kita??



"semut mati kerana gula" marilah kita renugkan ungkapan ini, bagaimana sang semut, yang memang kegemarannya menikmati kemanisan sang gula, tetapi keseronokan dan kelalaian tika menikmati gula itulah yang selalu membunuh mereka, sering saja mereka terperangkap dalam bekas simpanan gula kerana lupa bahawa mereka perlu segera keluar dari bekas setelah mendapat sebutir gula, namun ketamakan sang semut untuk memiliki kesemua gula mengaburkan matlamat asal mereka, yang akhirnya, membawa kebinasaan kepada sang semut, begitu jugalah dengan manusia, kegembiraan dan keseronokan itulah yang sentiasa membawa kepada kehancuran, manusia mudah leka dengan keseronokan dunia, keghairahan mencari keseronokan dunia mengaburkan matlamat asal manusia, yakni mencari keredhaan Allah dan kebahagiaan abadi di akhirat.



namun berlainan dengan jiwa-jiwa orang yang beriman, kepahitan dan keperitan kehidupan itulah sebenarnya kunci kelazatan iman bagi mereka, "yang pahit itu ubat", semakin mereka teruji, semakin meningkat taqwa mereka kepada Allah S.W.T. 10 malam terakhir ramadhan bagi orang-orang beriman umpama peluang keemasan menambah saham akhirat mereka, mereka berlumba-lumba membuat pelaburan, biarlah jasad mereka keletihan, asalkan rohani mereka kekenyangan, mardhatillah yang mereka cari, jiwa mereka sedikit pun tidak terkesan dengan kemanisan dunia, kerana hati dan jiwa mereka sentiasa sedar, dunia hanyalah sementara sedangkan akhirat itu selamanya.



jika dihitung kembali, layakkah kita menyambut syawal dengan begitu meriah? sedangkan amalan kebaikan kita tika ramadhan sangat sedikit bilangannya, layakkah kita bergembira dengan nikmat Allah S.W.T sedang hati dan jiwa kita sedikit pun tidak mensyukuri pemberiaan dariNya, sedikit pun tidak mengingatiNya walaupun Allah S.W.T sudah bermurah hati meminjamkan sedikit nikmat dunia, ataupun kita ini memang golongan semut yang sentiasa mencari kemanisan dunia, atau.. kita ini segolongan dengan qarun dan firaun? hanyut dengan keindahan dunia, menafikan kewujudan Allah yang Esa,yang akhirnya mati dalam kebinasaan dan sia-sia. ayuh! bangkitlah! menangislah wahai saudaraku! tangisilah pemergiaan ramadhan kali ini, kerana berakhirnya ramadhan pada kali ni bermakna berakhirlah malam lailatul qadar pada tahun ini, berlalulah bulan yang diturunkan wahyu Allah yang pertama, berlalulah ganjaran kebaikan yang ada bersamanya.. moga-moga ramadhan kali ini menjadi titik permulaan untuk kita menjadi seorang mukmin yang sejati. moga pintu taubat untuk kita masih terbuka luas..amin.



TAQABBALAHHU MINNA WA MINKUM..

MNNNA WA MINKUM TAQABBAL YA KAREEM...

Thursday 18 August 2011

menangislah sang bumi




bismillahirrahmanirrahim,

"eh, dh setengah bulan kita puasa" , "eh, 17 ramadhan dah berlalu??", "eh, rasa macam baru ja tahun lepas kita puasa" , itulah ungkapan yang biasa didengari kebanyakan dari kalangan kita, perihal masa yg berlalu pergi. pujangga arab ada menyebut, " masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita" . begitu pantas meninggalkan kita. barang siapa yg terleka, tergolonglah mereka dalam golongan manusia yang kerugian.



sedarkah kita?? Allah S.W.T menjadikan bulan dan matahari sebagai peringatan kepada kita, agar kita sedar, masa itu terus saja berlalu, diterbitkan matahari itu melalui timur, kemudian dibenamkan matahari itu melalui barat, kemudian dikeluarkan rembulan, agar menyuluh manusia di malam hari, disuruhnya manusia bermuhasabah sambil merenung sang bulan,  apakah yang telah kalian lakukan ketika siangnya, adakah penuh pengisian kebaikan dan kebajikan dengan memakmurkan bumi Allah S.W.T atau melakukan perkara yang melalaikan semata-mata, dan diberi peluang ketika malamnya untuk bermunajat memohon keampunan dari Allah S.W.T atas kekhilafan yang telah dilakukan. agar esoknya harinya akan dilalui lebih berhati-hati dan tidak melakukan dosa yang sama. yang pastinya agar hari esok lebih baik dari hari ini.

“Dan Dia sudah menundukkan bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan menundukkan bagimu malam dan siang, dan Dia mengurniakan setiap permintaan kamu itu. Dan jika kamu hendak memperhitungkan segala nikmat Allah nescaya kamu tidak mampu untuk menghitungnya.” (Surah Ibrahim, ayat 33-34)

Abdullah Ibn Masud berkata "Saya belum pernah menyesal melainkan penyesalan saya pada hari apabila terbenamnya matahari, semakin singkat umur saya ini, sedangkan amalan saya tidak bertambah."

namun, kecewalah sang mentari, mengangislah sang bulan, kerana disaksikan kepada mereka manusia  yang tidak sedikit pun memenuhi hari-hari mereka dengan perkara yang berfaedah, terus saja mengejar keduniaaan, saban hari ramai dalam kalangan manusia itu sentiasa merancang melakukan kebinasaan diatas muka bumi. hukum Allah S.W.T sudah mereka tidak peduli, cinta mereka pada dunia memang tidak berbelah bagi, merataplah sang bumi, saban hari dimamah usia, tua benar usianya, dia mungkin tiada daya lagi, namun digagahkan juga untuk terus berkhidmat pada Allah S.W.T, untuk diberi manusia peluang. alangkah kecewanya sang bumi tika mana kaki-kaki manusia itu  berpijak diatas badan tuanya untuk ke lembah maksiat. tika mana atas badan tuanya diguna untuk diletakkan bayi-bayi hasil perbuatan sumbang mereka, alangkahnya pilunya hati sang bumi, berterusanlah sang bumi menangis mengiringi tangisan sang bayi yang ditinggalkan.



alangkah ruginya mereka, kerana cinta akan dunia, mereka lupa bahawa  dunia yang mereka cinta ini hanyalah sebentar cuma, dunia ini pasti akan mereka tinggalkan, saat itu penyesalan mereka itu tidak berguna lagi, lalu merayulah mereka kepada tuhan mereka agar dipulangkan roh mereka ke dalam jasad. namun, peluang hanya sekali. setiap yang hidup pasti akan merasai mati.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakan (wahai Muhammad) sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.

dan sesunguhnya manusia memang benar-benar dalam kerugian. firman Allah S.W.T dalam surah Al-Asr :

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran". - Surah Al-Asr:1-3.

oleh itu, marilah kita sama-masa mendongak ke langit, kemudian melihat kembali kepada kaki yang berpijak dibumi, kerdil bukan kita di atas muka bumi ini? namun diberi kita peluang untuk menjadi khalifah, untuk memimpin makhluk Allah yang lain supaya memakmurkan bumi Allah S.W.T dengan perkara kebaikan dan kebajikan. agar harmoni alam ini, diberinya akal kepada kita, supaya dapat berfikir, dapat menilai yang mana baik dan yang mana buruk, yang mana hak dan yang mana batil, mampu melaksanakan suruhan dan meninggalkan laranganNya. dibuat setiap kejadian itu supaya manusia dapat mengambil pelajaran dan iktibar. supaya manusia itu yakin bahawa sang Pencipta yakni Allah S.W.T itu wujud. dan janji Allah itu pasti! 



Ya, Allah, ampunilah dosaku, terimalah taubat hambamu ini, ampunilah dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku ketika aku masih kecil. berilah daku hidayahmu ya Allah.. ya Rahman, ya Rahim, Amin.





Tuesday 16 August 2011

Kesilapan Kerap Muslim Dalam Bulan Ramadhan

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net






Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.



Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.






8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-



ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم

Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )



Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.



إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)



Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

17 Oktober 2006

( Ulang siar pada 11 Sept 07 )

(Ulang siar pada 31 Ogos 2008 )

Sunday 14 August 2011

As-Syahid Al-Imam Syed Qutb : perginya bersama haruman iman



bismillahirrahmanirrahim,



pisang emas dibawa belayar,
masak sebiji diatas peti,
hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa mati.


pulau pandan jauh ketengah,
gunung daik bercabang tiga,
hancur badan dikandung tanah,
budi yang baik dikenang jua.


itulah yang boleh ana katakan tentang riwayat hidup Al-Imam Syed Qutb, sememangnya hidup ulama' ini penuh dengan bakti dan budi pada agama Allah. siapa ini Syed Qutb? ana pasti ramai diluar sana masih janggal dengan nama ini. namun nama inilah yang menggerunkan musuh Allah semasa hayatnya. pelik bukan? kuffar lebih mengenali tokoh ini. cukup takut jika lidah Al- Imam Syed Qutb berkata-kata, cukup takut jika penanya menulis kalimah tauhid. kata-katanya mampu mengoncang dunia, menghancurkan ideologi-ideologi barat yang sesat. penanya mampu menarik pemuda-pemuda ke jalan jihad, begitu lah hebatnya ulama' ini. 


dilahirkan pada tanggal 9 oktober 1906, ibu dan bapanya tergolong dalam kalangan mukmin yang sangat mematuhi Al-Qur'an. kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Syed Qutb amat terkesan dengan sifat dan keperibadian ibu bapanya. hasilnya, Syed Qutb sangat cinta akan Al-Qur'an. ulama' ini sangat suka membaca dan mendalami Al-Qur'an. beliau gemar mendengar alunan suci ayat-ayat Al-Qur'an, sehinggakan beliau bercita-cita memiliki suara yang lunak supaya dapat mengalunkan aya-ayat suci Al-Qur'an dengan merdu dan pada suatu hari mampu menjadi seorang qari. namun, apalah daya bakat yang dikurniakan Allah bukan pada kelunakan suara, tetapi kecerdasan akal fikirannya. Al- Imam Syed Qutb mula menghafaz Al-Qur'an seawal usia 10 tahun.



 berkat didikan orang tuanya, Syed Qutb berjaya melanjutkan pelajaran ke Darul Ulum (Universiti Kaherah) seterusnya mendapat ijazah dalam bidang sastera (pendidikan). memulakan tugas sebagai pengajar di darul ulum dan kemudiannya sebagai nazir sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Mesir. atas kurniaan tuhan, kecerdasan otaknya dizahirkan dengan baik oleh penanya, cara penulisan beliau sangat digemari oleh pemuda-pemuda yang dahagakan ilmu, tulisan-tulisan beliau sering dikeluarkan akhbar dan majalah. tintanya sangat berpengaruh dalam dunia sastera. tinta emasnya sering dinanti. antara yang popular dan masih digunakan sehingga hari ini ialah Tafsir Fi Zilalil Qur'an. oleh sebab demikian, beliau memutuskan untuk menulis buku nya sendiri. dari tahun 1945-1950 beliau telah menulis sebanyak 26 naskah buku berkenaan satera Ilmiyah. oleh sebab pengaruhnya yang sangat kuat, rejim sekular Jamal Abdul Nasir telah menghantar Al- Imam Syed Qutb ke Amerika selama dua tahun untuk mengkaji sistem pendidikan disana.


tujuan rejim Jamal Abdul Nasir tidak lain ialah untuk mempengaruhi jiwa Syed Qutb dengan budaya barat. tetapi iman kunci kepada segalanya, iman beliau sedikit pun tidak goncang sewaktu berada disana, bahkan bertambah mantap. di Amerika Al-Imam Syed Qutb melihat sendiri keruntuhan akhlak masyarakat barat. disana beliau pernah diserang sakit yang menyebabkan  beliau terlantar di hospital, beliau telah melihat satu peristiwa pelik, dimana sekupulan manusia berpesta bersama pesakit. beliau pun merasa hairan dengan kejadian itu. untuk mengetahui lebih lanjut, dia pun menyapa mereka  dan bertanya, untuk apakah pesta mereka itu? jawapan yang diterima agak mengejutkan, kata mereka, mereka meraikan kematian "pengganas"  Hassan Al- Banna. beliau bertambah hairan, siapakah Hassan Al-Banna itu? kematiannya melegakan kuffar.


bermulalah lembaran baru buat Syed Qutb, sekembalinya Al-Imam Syed Qutb ke mesir, rentetan dari peristiwa tadi beliau pun mula mengkaji akan Hassan Al-Banna ini, disinilah beliau menemui Ikhwanul Muslimin. barulah beliau sedar, rupanya itulah tokoh yang pergi itulah As-Syahid Imam Hassan Al- Banna, seorang mujaddid Islam, penyatu ummah! beliau pun menyertai ikhwanul muslimin. atas komitmen yang tak berbelah bagi pada Ikhwanul Muslimin dan keperibadian beliau yang luhur, pada 1954, beliau dilantik sebagai ketua pengarang majalah Ikhwanul Muslimin. namun begitu, selepas dua bulan beliau dilantik, rejim Jamal Abdul Nasir mengharamkan majalah tersebut. namun begitu, semangat da'ie yang ada dalam dirinya dan ikhwan yang lain tidak sedikit pun luntur. usaha dakwah mereka masih diteruskan.


merasakan kedudukannya tergugat, pada 1955,  rejim Jamal Abdul Nasir telah menahan Al-Imam Syed Qutb bersama-sama ikhwan yang lain. Al-Imam Syed Qutb dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan kerja berat. di dalam tahanan, Al-Imam Syed Qutb beri seksaan yang teruk oleh rejim Jamal Abdul Nasir. Rejim Jamal Abdul Nasir dikatakan telah membuat tawaran pembebasan kepada Al-Imam Syed Qutb menyuruh beliau menulis surat memohon maaf kepada rejim Jamal Abdul Nasir. namun Al-Imam Syed Qutb menolak dengan kata yang penuh makna dan hikmah, menjadi pedoman buat pejuang agama Allah sehingga hari ini :


“Aku merasa hairan dengan mereka yang mahukan manusia yang ditindas dan dizalimi berlutut memohon kepada penzalim dan penindas itu. Demi Allah, kalaupun dengan perkataan itu dapat menyelamatkan aku daripada tali gantung sekalipun, sesekali aku tidak akan mengucapkannnya. Aku lebih rela kembali menemui Allah dalam keadaan Ia meredhai aku dan aku meredhaiNya”

pada tahun 1964, Al-Imam Syed Qutb dibebaskan selepas rejim Jamal Abdul nasir menerima surat dari kerajaan Iraq, bagi menjaga hubungan baiknya dengan Iraq, rejim Jamal abdul Nasir pun membebaskan "musuh" beliau itu. namun, pembebasan itu tidak lama, tidak sampai satu tahun Al-Imam Syed Qutb ditahan semula atas tuduhan ingin menggulingkan kerajaan, dia bersama adik beradiknya beserta puluhan ribu anggota Ikhwanul Muslimin yg lain ditahan dan dipenjarakan.



pada tahun 1966 Al-Imam Syed Qutb bersama rakan seperjuangannya Muhammad Yusof Hawwash dan Abdul Fatah Ismail dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah tentera Rejim Abdul Jamal Nasir. tanggal 13 jamadil Awal 1386 Hijrah, bersamaan 29 Ogos 1966. syahidlah penegak kalimah Allah bersama kemegahan. bersama sejuta kebangkitan ikhwan. Al-Fatihah. marilah kita hayati sajak beliau sebelum ke tali gantung.

Sahabat,
Andainya kematian engkau tangisi,
Pusara engkau siram dengan air matamu,
Maka di atas tulang belulang yang sudah luluh,
Nyalakanlah obor untuk ummat ini,
Dan...
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan.
Sahabat,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan,
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu,
Taman-taman indah di syurga Allah,
Terhampar menanti,
Burung-burungnya berpesta menyambutku,
Dan berbahagilah hidupku di sana
Sahabat,
Puaka kegelapan pasti akan lebur,
Fajar akan menyingsing,
Dan alam ini akan disinari cahaya lagi,
Relakanlah rohku terbang menjelang rindunya,
Jangan gentar berkelana ke alam abadi,
Di sana... cahaya fajar memancar.
(Al-Maghfulahy Al-'Arif Billah,
Asy-Syahid Sayyid Ibnu Qutb Ibrahim,
Isnin 13 Jamadilawal 1386)

credit to: hasbiemuda.wordpress.com
                  syahirzahari.blogspot.com
                   syahirahhanimidris.blogspot.com

Saturday 13 August 2011

BACA!!!!!! perkara sebenar ketika pemeriksaan JAIS di gereja-(NGO)-beserta bukti2




bismillahirrahmanirrahim,

atas rasa tanggungjawab semasa muslim, disini ana ingin berkongsi perkara sebenar yg berlaku diantara JAIS dan gereja.



by helme hanafi on monday, August 8, 2011 
perkara sebenar ketika pemeriksaan JAIS di gereja-(NGO)-beserta bukti2.

INI sedutan sidang akhbar 45 NGO Islam seluruh Selangor yang diadakan di bilik mesyuarat utama Masjid Negeri Shah Alam pada Isnin.

Pengerusi Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Dzulkhaini Husain;

Sebelum benda itu merebak ke tahap yang tidak dapat dikehendaki, elok buat PC (sidang akhbar), untuk jawab soalan-soalan supaya media faham.

Apakah niat kita?

Apakah tindakan yang dibuat oleh JAIS ini betul atau tidak, adakah tindakan yang dilakukan oleh Gereja Methodist ini, yang dipanggil dengan nama Gereja Methodist Damansara Utama yang sebetulnya bukan Damansara Utama, dia (terletak) di Seksyen 13 iaitu lima kilometer dari Damansara Utama.

Kita lihat laporan media mengenai perkara ini, di seluruh negara, yang merisaukan kita (NGO) adalah orang Islam dengan orang Islam pun bercanggah akan kesahihan perkara yang berlaku.

Hari ini kita panggil media, kami NGO telah menguji kekuatan (menyoal) JAIS selama hari Jumaat, Sabtu, Ahad hingga ke pagi ini untuk mencari apa sebenarnya yang telah berlaku.

Kami tidak sempat bertemu gereja kerana kesuntukan masa.

Dengan dokumen-dokumen yang kami terima, apa yang dilakukan oleh JAIS itu (bertujuan) baik.

Dengan itu, kami NGO-NGO yang bergabung untuk membetulkan keadaan ini ada 45 (pertubuhan) menyokong sepenuhnya tindakan JAIS dan perkara ini telah dimajukan kepada Sultan Selangor.

Mengapa kami percaya dengan cakap Jais?

Kami mudah, salah kami kata salah, kalau betul kami kata betul. Kami tidak ada hubungan dengan agensi kerajaan dan politik.

Segala yang berlaku pada malam itu, maklumat awalnya adalah daripada ‘orang dalam’ yang dirahsiakan identitinya.

Apa yang berlaku?

Upacara yang dilakukan dipanggil Thanksgiving Dinner iaitu satu perkataan inggeris, terima kasih Allah, terima kasih Jesus, Thanksgiving atau dalam bahasa kita kenduri kesyukuran.

Itu hak masing-masing.

Perkara itu berlaku dari pukul 6.30 petang, pada 3 Ramadan yang berlaku di satu dewan yang boleh menampung 100 orang.

Pintu yang ditutup dan pintu dewan ini diletakkan bunga manggar, untuk mengelirukan bahawa upacara ini untuk umum.

Di dalam dewan ini, berlakulah upacara Thanksgiving yang berlarutan sehingga jam 10.30 malam.

Dengan maklumat yang diperolehi, 13 penguatkuasa JAIS dan 20 polis telah datang ke tempat itu anggaran pukul 9.00 malam.

Ketika sampai ke situ pintu, ada satu ruang legar, yang mana JAIS dan polis menunggu di situ lama dan memberi isyarat mereka adalah polis dan JAIS.

Mengambil masa yang lama juga, 20 ke 25 minit sebelum pintu itu dibuka. Jadi perkataan ‘raid atau raiding’ serbu atau serbuan itu yang memberi satu gambaran pintu itu dipecahkan dan ditendang tidak berlaku.


Bila pintu dibuka, dalam bilik itu ada kira-kira 100 orang dengan satu per lima adalah penganut Islam.
12 dewasa, tiga lelaki, sembilan wanita dan lapan kanak-kanak. berada dalam tempat itu.
Orang itu menunggu dengan baik di luar. Gambar pun ada.
Apa yang berlaku, pada pukul 7.15 petang, jamuan makan dimulakan, ini bermakna, mana letaknya puasa? Kemudian terus kepada tarian.

Pada pukul sembilan lebih dilakukan pulak membaca ayat karangan mereka yang bertajuk, Alhamdulilah dan Allahuakbar?


Ini apa bersangkut paut dengan Thanksgiving (dinner) dan Methodist, mengapa ayat-ayat yang diharamkan untuk digunakan oleh bukan Islam dalam Enakmen Agama Bukan Islam (kawalan perkembangan dikalangan orang islam 1988)

Sesudah itu, pada pukul 9 15, berlaku satu prayer intersession sembayang orang Kristian di mana meminta Nabi Isa untuk memohon kerestuan tuhan mereka.

Ingat masa itu 20 penganut agama kita termasuk kanak-kanak ada di tempat itu, terpesong atau tidak? Pesong kan?



Perkara ini dikeruhkan lagi, ada soal jawab tentang apa dia agama Islam, mengapa orang Kristian Methodist perlu melakukan perkara ini?

Dia datang dengan dua helai kertas yang menanyakan apa maksud perkataan Islam, apakah maksud perkataan Muslim? Apakah maksud perkataan Quran dan kefahaman dan keimanan.

Apakah maksud perkataan Islam, MUSLIM, Quran?, Apakah enam perkara Iman Muslim, lima waktu solat dalam Islam, malaikat manakah yang dipercayai menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad,


Tahun apakah Nabi Muhammad dilahirkan, How many surah is there in the Al-Quran, Berapa kali nama Isa disebut di dalam Al-Quran dan Orang Islam bersalam menggunakan tangan?

Inilah kuiz yang diberikan pada malam itu, yang mana sepatutnya menumpukan kepada adat istiadat Kristian.

Bila JAIS masuk ke dalam, kertas soal-soal jawab ini sudah berkecai-kecai sudah dimasukkan dalam tong sampah, jika niat baik kenapa nak masuk dalam tong sampah?

Dengan itu bila masuk tong sampah, JAIS dah sita benda ini, untuk jadi maklumat hendak dibawa ke mahkamah.

Bila mereka keluar, satu persatu, tiap-tiap Kad Pengenalan (IC) ditengok dan yang kad Pengenalan Islam diambil oleh JAIS, tapi tak ambil IC kanak-kanak sebab tak ada IC.

Dengan itu bahawa tindakan JAIS di dalam perkara ini benar. Mereka tidak pernah memecahkan pintu, berlaku dengan kekasaran, JAIS juga mengoyakkan kertas, macam-macam fitnah telah dilakukan.

Taklimat media ini demi masa depan agama Islam dan cucu cicit kita agar kita semua dapat dibetulkan.

Saya berharap saudara-saudari kita yang Kristian janganlah lakukan perkara ini.

Masjid dan surau pantaulah benda ini.

Kita bukannya menyusahkan orang, tapi orang menyusahkan kita.

Soalan media: Bila jumpa JAIS?

Jawapan: Jumpa JAIS Jumaat, Sabtu, Ahad…

Soalan media: Jumpa siapa, pengarah ke?

Jawapan: Kami jumpa penguatkuasa saja.

Tugas NGO adalah membetulkan keadaan dan perkara yang berlaku ada sebab musabahnya, dan kami solid di belakang JAIS dalam perkara ini. Janganlah JAIS rasa curiga,… positif juga dengan Istana.

Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd Mustaffa Hamzah

Kita menyokong ketegasan Dr Hasan Ali dan Jais dan kita kecewa dengan sikap Menteri Besar yang apologetik dan membelakangkan kuasa sultan.

JAIS tertakluk di bawah kuasa sultan, bukan di bawah kuasa kerajaan negeri.

Apa tindakan Jais dibuat berdasarkan undang-undang. Enakmen Ugama Bukan Islam 1988.


Sikap apologetik oleh kerajaan negeri dan MB, mengagal dan melemahkan penguatkuasaan oleh JAIS

Ini akan beri peluang yang terbuka kepada org bukan Islam untuk mendakyahkan agama mereka dikalangan orang Islam. Ini akan mengeruhkan suasana dalam negara kita.

Di peringkat NGO juga, kita amat kecewa dengan laporan media, Malaysiakini, Malaysian Insider, yang memberikan laporan salah kepada rakyat di luar sana.

Mengatakan bahawa Jais telah serbu, sedangkan tidak ada sebarang serbuan, penguatkuasa JAIS hanya periksa, atas aktiviti adanya orang Islam di sana.

Sebagainya gambaran yang disampaikan termasuk dari Istana, oleh wakil-wakil pihak gereja, dan media bukan Islam menggambarkan seolah-olah JAIS bertindak begitu rakus.

Perkara-perkara sebegini amat mendukacitakan kita. Dan diperingkat kita. Selepas kita dapat maklum balas JAIS mengenai proses daripada permulaan pemeriksaan dilakukan.

Tidak ada sebarang serbuan, keganasan, bahkan penangkapan, tetapi gambaran yang disampaikan oleh media, dan laporan yang disampaikan kepada pihak Istana terlalu berbeza.

Kita rasa ini tidak beretika sama sekali.

Perkataan serbuan itu ganti dengan pemeriksaan. Buka pintu dialog, dan periksa kad pengenalan sahaja… akan dibawa ke mahkamah.

Tidak ada tangkapan, hanya periksa IC sahaja. Terdapat juga di sana motto “matlamat utama pihak gereja adalah mengkristiankan seluruh warga dunia”.

Formula yang diguna pakai adalah mencari mereka yang memerlukan bantuan samada bantuan kewangan atau sebagainya.

Tarik hati mereka, rapatkan diri dengan target groups, akhirnya mereka akan di Kristiankan secara halus.

Kita dedahkan supaya umat Islam bersatu hati menyekat perkara ini.

Motto ini ada dalam gereja.
Setiausaha Agung Persatuan Imam,Pegawai Masjid dan Penolong Pendaftar Nikah Selangor (Pimpinan), Fakurruddin Eshak

Persatuan imam, kami menyokong tindakan JAIS bukan itu sahaja perlu ada satu satu undang-undang (supaya) pihak berkenaan yang melakukan jenayah, melanggar Perlembagaan.

Kita beri kebebasan untuk mengamalkan agama mereka , mereka tidak ada hak untuk sebar agama kepada umat Islam.

Kita perlu ada undang-undang jika premis itu ada upacara untuk memesongkan akidah, kita mesti ambil tindakan.

Mesti ambil tindakan, contohnya kunci selama dua bulan dan sebagainya.

(kerana tindakan ini) mungkin boleh menaikkan semangat orang-orang Melayu, sebab pernah satu masa dahulu, hanya satu orang sahaja. Natrah itu dan kita tidak mahu perkara itu berulang.

Kalau ada undang-undang akan selesai lebih baik.

Penutup Dr Dzulkhaini Husain;

Kita lakukan ini untuk membetulkan keadaan Islam di Malaysia. Kalau umpama yang berada tidak mengambil tindakan yang tegas, saya takut banyak Nattrah lagi akan berlaku?

Kalau ada perkara-perkara yang penting dan menggugat Islam, kami akan kehadapan lagi.-8/8/2011- OLEH HELME HANAFI





Pesanan emas dari HAMKA




bismillahirrahmanirrahim,


Kehidupan ini seumpama Bunga, maka Cinta adalah Madunya

Hidup ini bukanlah suatu Jalan yang Datar dan ditaburi Bunga,
Melainkan adakalanya disirami Air Mata dan juga Darah.

Supaya engkau beroleh sahabat, Hendaklah diri engkau sendiri sanggup menyempurnakan menjadi sahabat orang.

Cinta bukan mengajar kita Lemah, tetapi  membangkitkan Kekuatan. 
Cinta bukan mengajar kita Menghinakan diri, tetapi menghembuskan Kegagahan. 
Cinta bukan melemahkan Semangat, tetapi membangkitkan Semangat

Cinta itu adalah Perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri Manusia, 
Ia laksana setitis Embun yang turun dari langit, bersih dan suci. 
Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya. 

Jika Cinta jatuh ke tanah yang Tandus,
Tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. 
Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang Subur,
Disana akan tumbuh kesuciaan hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.

-HAMKA-





Tujuan agama yang benar dan ilmu yang benar hanyalah satu iaitu menuju kebenaran yang mutlak.Ilmu untuk mengetahui dan agama untuk merasai.Ilmu untuk bendanya dan agama untuk jiwanya.


Agama tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak merosak jiwa.Agama tidak menyuruh,kalau suruhan tidak membawa selamat dan bahagia jiwa.

Maksud agama ialah merentangkan jalan, manakala fikiran ialah membanding dan menimbang.

Tiga sifat yang ditimbulkan oleh agama, iaitu perasaan malu iaitu enggan mendekati suatu yang tercela.Boleh dipercayai di dalam pergaulan hidup ( amanah), benar dan jujur.

Kepercayaan kepada Tuhan itu telah ada dalam lubuk jiwa manusia.Tetapi kepercayaan tentang adanya Allah itu belum menjadi jaminan bahawa orang itu tidak sesat.

Seseorang mukmin dengan mukmin yang lain laksana rumah batu, yang satu menguatkan yang lain. ( maksud hadis ).


Kepercayaan agama menjelaskan bahawa manusia makhluk yang termulia darjatnya di dalam alam.Penganut-penganut tiap-tiap agama mempercayai bahawa penganut agamalah yang paling mulia

-HAMKA-



CREDIT TO: haniefisha.blogspot.com
                   www.katamutiara.tk

Friday 12 August 2011

riwayat hidup Haji Abdul Malik Karim Amrullah



bismillahirrahmanirrahim,

menyebut nama Haji Abdul Malik Karim Amrullah mungkin ramai yang terpinga-pinga, siapa tokoh hebat ini? jarang sekali didengari namanya, namun jika ada diantara kita yang menyebut HAMKA, pasti ramai yang mengenalinya, sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah menggunakan HAMKA sebagai nama penanya dalam dunia penulisan dan dakwahnya.

dilahirkan di maninjau, sumatera barat, Indonesia pada tanggal 17 februari 1908. beliau kemudian membesar di tanah kelahirannnya, maninjau. mendapat pendidikan awal di sekolah dasar maninjau sehingga kelas dua. bapanya Haji Abdul Karim Amrullah seorang tokoh terkenal pada ketika itu, Haji Abdul Karim Amrullah ialah tokoh yang bertanggungjawab mempelopori gerakan Islah di minangkabau sekembalinya beliau dari tanah suci Makkah Al-Mukarramah pada tahun 1906. bapanya kemudian menubuhkan sumatera thawalib di padang pandang. disinilah Hamka mempelajari asas agama Islam dan bahasa arab. madrasah ini jugalah yang berjaya mendidik Hamka menjadi seorang tokoh yang disegani. beliau juga telah menuntut ilmu dengan beberapa ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto, dan Ki Bagus Hadikusumo.


beliau mula bertugas sebagai guru agama di perkebunan tebing tinggi, medan pada 1924. jawatan tertinggi yang pernah dijawat Hamka ialah sebagai menteri agama Indonesia, namun meletakkan jawan setelah disuruh membuat pilihan oleh sukarno sama ada ingin pegawai negeri atau menjadi anggota majlis syura muslimin Indonesia (MASYUMI) .

nama Hamka cukup gah dalam dunia perkembangan Islam dan dunia kesusateraan. setiap tulisan dan syarahan beliau pasti meninggalkan kesan kepada pembaca dan pendengarnya, lenggok bahasa yang digunakan sangat berhemah dan penuh hikmah. antara karya beliau agung beliau ialah:



       
  • tenggelamnya kapal Van Der vijk
  • dibawah lindungan kaabah
  • tasawuf moden
  • falsafah hidup
  • revolusi agama
  • adat minangkabau
  • agama dan perempuan
  • pembela Islam

sebenarnya banyak lagi karga agung yang beliau hasilkan sepanjang hayat beliau. pengetahuan luas beliau dalam agama Islam dan sumbangan-sumbangan beliau dalam menegakkan syiar Islam telah melayakkan beliau menerima anugerah doktor falsafah (kehormat) dari universiti Al-Azhar yang membawa gelaran profesor.

namun pada tanggal 24 julai 1981, Nusantara dan seluruh dunia dakwah dikejutkan dengan kehilangan ulama ini. Dr Hamka menghembuskan nafasnya yang terakhir di jakarta Indonesia pada usia 73 tahun. sememangnya Prof Dr Hamka telah mengabdikan seluruh hayatnya dalam menegakkan syiar Islam. kehilangan sememangnya dirasai. karya dan syarahannya sentiasa dinanti umat Islam yang dahagakan Ilmu. semoga ruh beliau diletakkan dalam kalangan ruh-ruh orang beriman. hidupmu penuh dengan bakti, jasamu akan terus kami kenangi. Al-Fatihah.


"sesungguhnya setiap kegagalan itu mengandungi benih-benih
 kenikmatan yang akan datang. sebenarnya setiap kegagalan itu hanya berlaku untuk sementara sahaja"
-HAMKA