Friday, 14 October 2011

kebenaran

bismillahirrahmanirrahim


andai kebenaran itu menyebabkan diriku kelaparan..
biarlah.. asalkan rohani ku kekenyangan..
andai kebenaran itu menyebabkan diriku kelaparan..
biarlah.. kerana ia akan mengajarku erti kesabaran..
andai kebenaran itu menyebabkan diriku kelaparan..
biarlah.. kerana ia menghadirkan kemanisan iman


andai kebenaran itu menyebabkan diriku kelaparan..
biarlah.. kerana perut yang kosong itu mudah mengawal nafsu..
andai kebenaran itu menyebabkan diriku kelaparan..
biarlah.. kerana perut yang kosong itu mudah menerima ilmu..
andai kebenaran itu menyebabkan diriku kelaparan..
biarlah.. kerana aku yakin disitulah terletaknya redhaMu..

izinkan aku pergi dalam redhaMu

Thursday, 6 October 2011

ujian duniawi


bismillahirrahmanirrahim,


sungguh dunia ini hanyalah ujian semata mata..
yang terkandung dalamnya semuanya dusta..
yang sememangnya dicipta oleh sang Pencipta..
untuk menguji hambaNya..

jasad hanyalah syarat untuk si Roh memasuki alam dunia..
untuk diuji sekuat mana ia berpegang janji kepada Tuhannya..
saat dulu dia bersumpah setia tika menghadapNya..
apakah mampu si Roh bersama jasad mengotakan janjinya..

kerana kasih akan hambaNya..
yang sememang sering terlupa akan tujuan asal mereka..
lalu diutuskan kepada mereka dari kalangan mereka..
sebagai mengingatkan kembali segala suruhan dan tegahanNya..

namun..dalam tercari-cari..
dalam cuba memahami segala kata hati..
banyak ranjau dan duri perlu dilalui..
kerana fitnah dan tipuan syaitan itu tidak akan berhenti..

kerana memang tertulis sejak azali..
syaitan itu memang bersifat hasat dan dengki..
dengan segala kelebihan yang anak adam miliki..
untuk dilantik menjadi khalifah di muka bumi..

namun.. tidak ramai yang menyedari..
akan tugas mereka yang hakiki ini..
kerana ramai yang tertipu dengan fitnah duniawi
mengejar keseronokan dalam dunia sendiri

akhirnya hanyutlah anak adam di alam fantasi..
yang akan membinasakan mereka sendiri..
kerana akhirat itu bersifat abadi..
tempat mereka menerima balasan atas perbuatan sendiri..

beruntunglah insan yang sentiasa mengingati..
yang sering mengotakan segala janji..
tidak mudah tertipu dengan fitnah yang dilalui..
tidak letih untuk berbakti dan berbudi..

kerana mereka sedar akan tugas yang hakiki..
yakni berbudi dan memakmurkan muka bumi..
dan mereka begitu meyakini..
yang setiap janji Allah itu pasti..

janji Allah kepada golongan yang berpegang pada janji..
mendapat balasan baik di akhirat yang abadi..
moga kita lah orang yang berpegang pada janji..
yang dijanjikan hidup bahagia dalam syurgawi..

Sunday, 2 October 2011

buat calon zaujahku



bismillahirrahmanirrahim

buat calon zaujahku..
ketahuilah bahawa aku ini rijal yang tidak terlepas dari kesilapan..
yang tidak terlepas dari godaan syaitan..
jadi lindungilah aku dengan doamu..
agar hati ku tetap di jalan Islam yang satu..

buat calon zaujahku..
ketahuilah bahawa aku ini pernah melalui zaman silam yang kelam..
dan hatiku penuh dengan titik titik hitam..
moga hadirmu mampu membuka kembali jendela hatiku..
moga kesucian akhlakmu dapat memantulkan sinar keimanan kedalam hatiku..



buat calon zaujahku..
janganlah mengharapkan yang terbaik dariku..
kerana diluar sana ramai pemuda yang lebih baik buatmu..
namun seandainya telah tercatat bahawa engkau milikku..
ketahuilah.. aku akan berusaha supaya dapat menjadi teman terbaik buatmu..

buat calon zaujahku..
terasa kerdilnya aku untuk menjadi imam kepada kaum hawa sepertimu..
kerana pengalaman hidupku rasanya belum mampu membimbingmu..
namun.. ketahuilah aku tidak akan berhenti mengisi dadaku dengan ilmu..
moga dengan ilmu itu nanti aku mampu memimpin dirimu bersama zuriatku dalam keluarga yang baru..



buat calon zaujahku..
janganlah tertipu dengan pakaian dan perwatakanku..
kerana itu sememangnya tidak menggambarkan siapa diriku..
tetapi.. akan ku cuba sedaya upaya mengikis sifat mazmumah dari hatiku..
satu persatu sebelum aku bergelar suami kepada dirimu..

buat calon zaujahku..
jika ditakdirkan engkau adalah tulang rusukku yang hilang dulu..
jadilah pelindung setia kepada qalbuku..
agar hati ini sentiasa terpelihara dari keindahan dunia yang palsu..
kerana aku ingin berada di syurga bersama insan yang bergelar isteriku..

buat calon zaujahku..
terimalah daku seadanya..
kerana akan aku cuba terima seadanya siapa sahaja dirimu..
kerana itu adalah qada dan qadar buat diriku..
sesungguhnya Allah mengetahui yang mana lebih baik untukku dan untukmu..

Saturday, 1 October 2011

moga kau kurniakan padaku.. air mataku


Bismillahirrahmanirrahim

Ya Allah..
aku dambakan air mata yang kau kurniakan pada setiap insan
aku pohon moga Kau kurniakan padaku.. air mataku
yang mana mampu mengalir saat aku sujud kepadaMu
yang akan menyelamatkan diriku dari seksa nerakaMu..
yang mampu menyejukkan hati-hati makhluk yang dambakan kasihMu..
yang mampu menyucikan setiap titik hitam dihatiku..
yang menjadi bukti kerinduan seorang abid kepada Mu ya Rabb..

Ya Allah..
tetapi.. mengapa air mata ini masih lagi bersembunyi..
seolah olah masih malu bertemu denganMu..
sedangkan aku begitu merindu..
sedangkan aku masih lagi menunggu air mataku..
dan terus menunggu.. bilakah tibanya waktu itu..
kerana aku begitu menginginkan air mataku..
rasanya lama benar air itu tidak mengalir dipipiku..
sehinggakan jiwaku terasa asing.. terasa jauh denganmu..
kerana itu aku begitu menginginkannya.. agar air itu bisa membasuh dosa dosaku..
merasakan aku begitu hampir denganmu..

Ya Allah..
sungguh .. aku begitu berharap.. agar air ini bisa mengalir ketika sujudku..
kerana aku ingin berasa syahdu ketika menghadapmu..
kerana aku ingin meluahkan segala rinduku padamu..
kerana  aku ingin tangisi segala khilafku..
namun.. engkau masih tidak mengurniakannya padaku..
sedang aku masih setia menunggu..
menunggu ke mana hilang dan perginya air mataku..
namun... jauh di sudut hatiku..
aku tahu Kau punya rencana yang lebih untukku..
kerana Engkau lebih mengetahui yang mana lebih baik untukku..
dan perancanganMu sememangnya sentiasa lebih baik dari apa yang aku rencanakan..
bukankah itu janjimu?

Ya Allah..
namun
seandainya air mataku itu baik untukku.. kurniakanlah padaku...
supaya aku bisa melepaskan dendam dan rindu.. ketika sujudku padamu..
supaya mampu menjadi penghalang untuk ku ke nerakaMu..
dan sehingga kini aku masih lagi menunggu..
bersama sama kesunyian di jiwaku.. kerana rindunya aku padamu..
namun..
seandainya air mata ini mendatangkan bencana padaku..
mendatangkan kemurkaan Mu pada diriku..
jauhkanlah ia dariku...
kerana..
aku ingin pergi  menghadapmu saat aku meredhai  segala yang telah kau beri padaku..
kerana aku ingin pergi dalam redhamu..
sesungguhnya Engkaulah tuhanku..
maha mengetahui segala perkara yang berlaku ke atas setiap hambaMu..